Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata isu berhubung perkara terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

“Ada dibincangkan (dalam mesyuarat Kabinet) dan diputuskan bahawa menteri pendidikan akan menjawab nanti. Maka saya minta untuk berhubung pejabat menteri pendidikan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewujudkan garis panduan bagi pemberian sumbangan kepada sekolah Cina, Fahmi turut meminta media supaya merujuk kepada menteri pendidikan.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Ia bagaimanapun menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau menyokong Kementerian Pendidikan dan Fadhlina melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras terhadap sekolah.-BH Online