Ada sinar buat sukan sepak takraw untuk kembali berada dalam senarai sukan teras selepas digugurkan pada 2017.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan yang Majlis Sukan Negara (MSN) dijangka akan membuat keputusan berkenaan selepas Sukan Olimpik Paris 2024 menutup tirainya pada pertengahan Ogos ini.
“Kenapa sukan teras? Kerana sukan sepak takraw cukup popular di kalangan semua komuniti bandar dan juga luar bandar. Kami melihat sambutannya ketika Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw (Mei lalu) di mana semua tiket habis terjual malah tontonan atas talian juga tinggi.
“Ia juga sukan yang tidak mahal kalau kita nak laksanakan di peringkat semua umur. Kalau lihat kepada prestasi mereka, memang Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat.
“Jadi kami mahu mempromosi dan memperkasakan ekosistem sedia ada,” katanya pada sidang media selepas sesi perbincangan meja bulat pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan skuad sepak takraw negara dengan Perdana Menteri mengumumkan imbuhan RM10,000 buat setiap pemain dan jurulatih susulan prestasi di Kejohanan Piala Dunia, Mei lalu.
Sebelum ini, sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo digugurkan MSN daripada senarai sukan teras pada 2017 berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan.
Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan yang KBS sedang dalam usaha mewujudkan projek perintis yang tertumpu kepada kejohanan khusus buat warga emas.
“Kejohanan ini kita akan mulakan dan seperti diumumkan sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) akan adakan kejohanan sukan kategori Masters tahun ini selepas penganjuran SUKMA (Sukan Malaysia).
“SUKMA adalah untuk golongan muda, jadi untuk kategori terbuka, kita akan buat projek perintis pada tahun ini di mana kita akan buat di Kuala Lumpur Sports City di Kuala Lumpur.
“Yang itu, maklumat lanjut akan diumumkan MSN selepas mereka pulang dari Sukan Olimpik, SUKMA (Sarawak), LTdL (Le Tour de Langkawi)… kemudian (MSN) akan fokus untuk Sukan Masters.-BH Online