Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Wanita PKR giat menyusun strategi bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan memberi komitmen yang tinggi dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) sama seperti pilihan raya sebelum ini dengan memastikan jentera turun berkempen.

“Kita akan beri sepenuhnya komitmen untuk pastikan jentera turun dan pastikan kemenangan di PRK DUN Nenggiri.

“Calon sudah pun kita tahu dan tugas Wanita PKR ialah memberi tumpuan penuh terhadap kempen dan mengatur strategi menawan DUN Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Pelancaran Rasmi Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK DUN Nenggiri.

Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan selepas ADUN, Mohd Azizi Abu Naik digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.-BH Online