Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

 Nilai jualan produk usahawan di kalangan penyewa MARA yang menembusi pasaran luar negara mencecah RM1.8 bilion sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu. 

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usahawan berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada 14,409 pekerja di seluruh negara.

Beliau berkata, pada masa kini seramai 35 penyewa premis perniagaan MARA berjaya menembusi pasaran luar negara dengan produk masing-masing.

“Produk usahawan ini meliputi kluster makanan dan minuman serta perkhidmatan dan gaya hidup membabitkan pasaran negara Eropah, Timur Tengah, Asia dan Asia Tenggara.

null

“Ini membuktikan bahawa produk tempatan sudah diterima di negara luar. MARA akan terus komited dalam memastikan usahawan mendapat sokongan yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa sekali gus mampu mendapat tempat yang baik di pasaran global.

“Ia termasuk produk kluster makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan dan gaya hidup bagi pasaran negara Eropah, Timur Tengah, Asia dan Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penyewa MARA Se-Malaysia, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, antara syarikat MARA yang berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Bubbles O2, Kumang & Co., Kasih Concept, Easy Paint Sdn Bhd, Fatihah Frozen Sdn Bhd dan Nk Exclusice Business.

“MARA akan terus komited dalam memastikan mereka (usahawan) mendapat sokongan yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran tempatan, sekali gus mampu mendapat tempat yang baik di pasaran global,” katanya.

Hadir sama dalam konvensyen itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Sri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak RM48 juta diperuntukkan MARA bagi menampung perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan fasiliti serta premis perniagaan MARA.

Beliau berkata, ia membabitkan RM32 juta belanja mengurus dan RM16 juta diperuntukkan untuk senggaraan premis perniagaan bagi peningkatan imej.

“Kita dapati ada lot-lot perniagaan yang disewakan tetapi tidak beroperasi seperti yang digariskan oleh MARA.

“Justeru, saya mengarahkan pegawai MARA yang memantau premis ini untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada penyewa yang ingkar,” katanya.

Konvensyen Penyewa MARA Se-Malaysia yang berlangsung hari ini menghimpunkan seramai 600 penyewa MARA seluruh negara.

Konvensyen julung kali diadakan itu memberi peluang kepada penyewa MARA untuk berinteraksi secara bersemuka dan bertukar pandangan dalam meluaskan jaringan perniagaan mereka. 

Dalam konvensyen sama, MARA turut memberi pengiktirafan kepada penyewanya yang menunjukkan prestasi cemerlang di dalam pengurusan dan operasi perniagaan. 

Sebanyak 376 pencalonan usahawan penyewa daripada seluruh negara diterima bagi lima kategori yang dipertandingkan.-BH Online