Penuntut Malaysia yang terkesan dengan protes yang berlaku di Bangladesh dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil kerana keselamatan rakyat negara ini menjadi keutamaaan.
Menurutnya, kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh.
Justeru, selain menilai dengan teliti perkembangan terhadap situasi semasa, kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua pilihan yang ada termasuk evakuasi, jika perlu.
“Kementerian Luar bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu penuntut Malaysia di Bangladesh.
“Semua penuntut Malaysia diminta supaya berhubung dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar juga mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh.
Katanya, semakan perlu dibuat dengan menghubungi bilik operasi dengan menghubungi talian +603-8887 4570 atau emel ke taskforcebangladesh@kln.gov.my.
“Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa.
“Kementerian memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.-Harian Metro Online