Kerajaan Johor mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, untuk membincangkan isu sumber bekalan air dan projek berkaitan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata antara perkara dibincangkan pada pertemuan di Kuala Lumpur itu ialah projek sumber dan bekalan air negeri, cadangan baharu projek sumber air, serta model pembekalan air ke pusat data.
“Kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik, komersial serta kegunaan pelbagai industri,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Onn Hafiz menjelaskan dengan mengambil kira pembangunan pesat bakal berlaku di Johor, selain wujudnya projek berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), pihaknya yakin permintaan terhadap bekalan air juga pasti akan meningkat.
Justeru, beliau berkata, pelbagai usaha sedang dirangka dengan teliti untuk menambah kapasiti bekalan air mengikut keperluan semasa, dengan perancangan jangka sederhana dan panjang.
“Semua ini demi memastikan kelestarian dan kesejahteraan rakyat Johor akan terus terbela serta terpelihara. Besar harapan kerajaan negeri agar cadangan dibentangkan ini diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.
“Semoga segala usaha ini membawa manfaat yang besar serta kebaikan berkekalan buat semua pihak, terutama rakyat Johor,” katanya.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli; dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Shahrol Anuwar Sarman. – BERNAMA