Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO Kelantan mengumumkan Ketua Pemudanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada sidang media sebentar tadi.

Katanya, pemilihan Mohd Azmawi berusia 38 tahun diputuskan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepemimpinan UMNO Gua Musang serta akar umbi.

“Pemilihan ini dibuat oleh presiden parti selepas meneliti tiga nama yang dihantar oleh pimpinan UMNO Gua Musang sebelum pucuk pimpinan memilih Mohd Azmawi sebagai calon yang akan bertanding.

“Sudah tentu UMNO sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada calon muda yang bakal menjadi pewaris kepada parti.

“Kita juga yakin Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri bulan depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan akan bersama-sama dengan Mohd Azmawi agar dapat memikul tanggungjawab besar yang diberikan itu.

“Selain UMNO Kelantan, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri akan turut membantu sepanjang tempoh berkempen.

“Kita sedar PRK Nenggiri bukan perkara mudah namun kita berjanji akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kejayaan.

“Kita juga merayu pengundi DUN Nenggiri, tidak kira di mana berada supaya memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO,” katanya. 

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.-BH Online