Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Google hari ini melancarkan Advertising Revenue Lab Malaysia Google News Initiative (GNI) untuk memperkasa penerbit berita bersaiz kecil dan sederhana di negara ini.

Program yang disokong Kementerian Komunikasi itu juga akan melengkapkan bilik berita tempatan dengan alatan dan pengetahuan untuk berkembang maju dalam landskap media semasa.

Ia juga sebagai tambahan terbaharu kepada siri program GNI yang bekerja dengan penerbit daripada semua saiz secara langsung bagi meningkatkan keupayaan pengiklanan digital dan memupuk model perniagaan mampan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kementerian mengalu-alukan dan menghargai inisiatif Google meningkatkan kemampanan media di negara ini dan menjadi peristiwa penting bagi industri berita Malaysia. 

“Dengan melengkapkan penerbit berita dengan alatan dan kepakaran digital yang penting, kami percaya model perniagaan mereka boleh dipertingkat, memastikan ekosistem berita tempatan kekal pelbagai, lebih mampan dan berkembang maju,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program itu akan memberi tumpuan kepada penyediaan latihan teknikal dan produk serta sokongan praktikal untuk mengoptimumkan laman web, meningkatkan pembabitan khalayak dan meningkatkan hasil pengiklanan.

Melalui Advertising Revenue Lab Malaysia, bilik berita akan memperoleh cerapan dan strategi berharga untuk mengembangkan hasil pengiklanan digital serta memastikan penyampaian berterusan berita berkualiti tinggi kepada komuniti di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali, berkata pelancaran Advertising Revenue Lab Malaysia oleh Google menandakan perkembangan positif untuk media Malaysia.

Katanya, ia secara langsung memperkasa penerbit untuk mengoptimumkan platform digital mereka dan mengukuhkan strategi pengiklanan mereka. 

“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi berterusan Google terhadap inovasi dan menyokong internet percuma dan terbuka.

“Kami yakin inisiatif ini akan membuka jalan masa hadapan yang cerah dan mampan untuk pencipta berita dan kandungan di seluruh negara.

“Ia juga membuka peluang baru untuk industri media Malaysia dan memupuk ekosistem digital yang berkembang maju bagi memberi manfaat kepada pengguna kandungan,” katanya.

Pengarah Urusan, Perkongsian Berita Google Asia Pasifik, Kate Beddoe, berkata Advertising Revenue Lab mampu membantu penerbit berita Malaysia menyesuaikan diri, berkembang dan membina perniagaan lebih mampan.

Pengarah Google Malaysia, Farhan S Qureshi, berkata program baharu itu akan membantu penerbit berita Malaysia berkembang maju dalam era digital ini dengan menyediakan alatan dan latihan kepada mereka serta membantu memastikan masa hadapan kewartawanan di Malaysia.-BH Online