Jambatan Bertam yang bakal siap pada Mac tahun hadapan bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, pembinaan projek itu dijangka dapat menghubungkan jalan raya dari Bertam Baru dan Bertam Lama yang sebelum ini dipisahkan oleh Sungai Nenggiri.
“Kemajuan projek itu kini berada di tahap 58.67 peratus iaitu mendahului jadual sebanyak 1.23 peratus yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan membabitkan kos RM9.03 juta.
“Pemilik projek jalan ini ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana agensi pelaksana adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Jurutera Jajahan Gua Musang, di sini, hari ini.
Katanya, projek berkenaan adalah kesinambungan Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Bertam Baru ke Kampung Bertam Lama, Gua Musang.
“Jalan raya ini akan melengkapkan sistem rangkaian jalan yang menghubungkan kampung-kampung terdekat seperti Kampung Limau Kasturi dan Kampung Jerek untuk ke Bandar Gua Musang dan sebaliknya.
“Projek ini bakal memanfaatkan kepada lebih 5,000 penduduk sekali gus dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk luar bandar dan menjadi pemangkin bagi penduduk mengeluarkan, menghantar dan
memasarkan hasil pertanian,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, beliau berharap pihak kontraktor dapat mengekalkan momentum penyiapan projek itu dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.-BH Online