Syarikat perladangan disaran membangunkan rangka kerja kemampanan masing-masing bagi menyokong komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) turut mengingatkan semua organisasi dalam negara, khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk turut sama memberi komitmen membangunkan rangka kerja berkenaan.
Langkah itu juga sejajar matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 seperti mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.
“Kita sepatutnya berganding bahu untuk mengamalkannya dan insya-Allah dapat mencapai matlamat berkenaan.
“Walaupun bukan mudah, ini semua untuk memastikan masa depan dan generasi akan datang terjamin, kemakmuran negara terus tercipta, ekonomi kekal mampan dan wujud kesejahteraan sosial,” katanya ketika berucap selepas melancarkan Rangka Kerja Kelestarian FGV di sini, hari ini.
Fadillah juga menekankan peranan syarikat-syarikat sektor perladangan bukan setakat menyumbang kepada ekonomi negara, tetapi turut membantu mengembangkan ekonomi kitaran di Malaysia.
“Dalam sektor tenaga, komitmen kita sekarang ini adalah menjelang 2044, tiada lagi tenaga dijana arang batu. Kita tidak akan membekalkan tenaga daripada bahan api fosil atau sumber arang batu, oleh itu perlu cari sumber baharu.
“Pada masa ini, sumber tenaga baharu adalah kuasa hidro dan hidrogen masih di peringkat percubaan. Gas berhubung kait dengan sektor perladangan pula adalah biojisim serta biogas… ini yang patut kita beri tumpuan dan kembangkan agar dapat dijadikan sumber tenaga,” katanya.
Sehubungan itu, Fadillah menyarankan supaya diwujudkan jalinan kerjasama antara PETRA dan Kementerian Peladangan dan Komoditi serta agensi di bawahnya untuk mengenal pasti serta mengembangkan potensi terbabit.
“Jika berjaya, kita dapat kembangkan peluang yang boleh dibangunkan dalam ekonomi kitaran dan rantaian bekalan ekonomi dalam sektor perladangan negara,” katanya.
FGV Holdings Bhd hari ini melancarkan Rangka Kerja Kelestarian terbaharu yang diperkasa, sekali gus mengorak langkah ke arah komitmen berterusan FGV terhadap agenda ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata pembaharuan ini termasuk mengenal pasti bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran semasa ESG. – BERNAMA