Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sentiasa bersikap terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Namun, Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, semuanya adalah bergantung pada keputusan yang akan dibuat pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).nullnull
Berdasarkan Perlembagaan UMNO, beliau berkata, pemilihan parti diadakan setiap tiga tahun dengan pemilihan seterusnya dijangka berlangsung pada 2026.
“Saya amat terbuka dalam perkara ini (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan). Terdapat klausa (dalam perlembagaan UMNO) yang mana pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan dan ini bermakna, ia bergantung pada keputusan yang akan dibuat dalam MKT serta PAU.
“Kita amat mematuhi apa yang tercatat dalam perlembagaan dan peraturan UMNO. Kita melihat situasi tahun atau tarikh yang akan ditentukan, dan tentunya seseorang calon tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tetapi perlu bergantung pada sokongan perwakilan.
“Yang penting, UMNO harus terus dipertahankan dan relevan… jangan difikirkan dari sekarang soal pertandingan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Md Sarip.
Semalam, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara meluluskan tiga usul secara sebulat suara, termasuk menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan pada pemilihan yang dijangka diadakan dua tahun lagi.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Adham Baba, dipetik berkata UMNO Bahagian Tenggara juga meminta pucuk pimpinan mengkaji semula hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan kini, selain mahu parti itu menunaikan janji untuk membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.
Sementara itu dalam ucapannya pada majlis perasmian berkenaan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah tujuh tahun memegang jawatan Presiden UMNO yang mana pelantikannya adalah susulan peletakan jawatan Najib pada 2018.
“Sudah tiba masanya saya akan serah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang layak. Saya menjadi Presiden pun sebab ‘bossku’ (Najib) meletak jawatan.
“Jawatan hakiki saya cuma Naib Presiden (ketika itu) dan diberi tanggungjawab menjadi Presiden. Presiden sebelum ini semua menjadi PM (Perdana Menteri), cuma saya seorang tidak menjadi PM.
“Jawatan tertinggi saya ialah menjadi TPM (Timbalan Perdana Menteri), itu pun tidak tahu sampai bila… saya sudah rasa semua jawatan,” katanya.-BH Online