BERSATU bebas untuk mengambil apa-apa tindakan susulan keputusan dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, berhubung status kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ini termasuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi tujuan mempertikai keputusan dibuat DUN Selangor itu.
“Ikut hak parti terbabit untuk mengusulkan (pertikaian) perkara itu ke mahkamah sebagai mana tertakluk dalam akta terbabit,” katanya ringkas kepada media.
Beliau berkata demikian diminta mengulas keputusan Speaker DUN Selangor semalam yang mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.
Weng San berkata, pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam BERSATU didapati sebagai satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
Beliau juga memaklumkan notis dan bukti yang diserahkan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Jun lalu juga tidak memenuhi beban pembuktian diperlukan untuk membuktikan sebaliknya.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Rashid hilang keahlian dalam BERSATU selepas menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Susulan itu, Mohamed Azmin menyerahkan notis kepada Weng San mengenai tindakan BERSATU memberhentikan keahlian Abdul Rashid dan meminta kerusi DUN berkenaan dikosongkan.-BH Online