Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Hanya 7.07 peratus ekspatriat atau pegawai dagang dalam lima bidang iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, minyak, gas dan tenaga digajikan di Malaysia, sekali gus tidak mengganggu peluang pekerja tempatan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata peratusan pekerja tempatan yang digajikan dalam lima bidang sama itu ialah 92.93 peratus.

Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) merekodkan sebanyak 73,450 pas aktif diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi syarikat yang berdaftar dalam sistem Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) sehingga 19 Jun lalu.

“Berdasarkan peratusan ini, ia membuktikan bahawa isu espatriat tidak mengganggu gugat peluang pekerja tempatan berdasarkan peratusan semasa,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai kewajaran bagi membenarkan kemasukan ekspatriat profesional dalam bidang teknologi maklumat (IT) di industri tempatan dalam keadaan terdapat banyak profesional berbakat.

Pada masa sama, Steven berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan ketersediaan bakat dan membangunkan saluran bakat yang sesuai dengan keperluan pelbagai sektor ekonomi.

Daripada 73,450 pas aktif diluluskan, beliau berkata, sebanyak 29,928 pas aktif adalah di bawah Kategori 1 (EPI), 27,914 pas aktif di bawah Kategori 2 (EPII) dan 751 pas aktif di bawah Kategori 3 (EPIII).

“Sementara 14,857 pas aktif di bawah Kategori Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK/PVP),” katanya.-BH Online