Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bertindak tegas dalam menangani masalah berkaitan salah guna media sosial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Sultan Ibrahim menitahkan perkara itu ketika sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pagi semalam, bagi menyembah maklum acara-acara yang akan dijalankan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda pada 20 Julai ini. 

Beliau berkata pada sesi itu juga beliau turut menyembah maklum kepada Sultan Ibrahim berhubung kes seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, Selangor, baru-baru ini.

“Selepas semua perkara formal itu selesai (ketika sesi menghadap) Tuanku bertitah mengenai kerisauan Seri Paduka Baginda tentang ‘masalah’ berkaitan media sosial.

“Tuanku titahkan Menteri Komunikasi dan MCMC mesti mengambil tindakan yang sangat tegas, jadi Tuanku sangat prihatin,” katanya dalam sesi bersama media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata Sultan Ibrahim turut mengulangi titah dengan mesej yang sama iaitu tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

Sehubungan itu Fahmi berkata kementerian itu bersama agensi-agensi lain akan memperkasakan segala usaha menjadikan media sosial sebagai platform yang selamat untuk digunakan.-Harian Metro Online