Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Satu usaha berintegrasi dan proaktif membabitkan semua agensi perlu dilakukan bagi mengatasi peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan rakyat negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata, Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 merekodkan 48,903 panggilan dari 2022 hingga Jun lalu.

Pada tahun lalu saja, sebanyak 1,087 kes kematian akibat bunuh diri dilaporkan membabitkan 893 lelaki dan 194 perempuan. 

“Jumlah itu agak tinggi dan masyarakat harus mengambil peduli. Daripada peratusan yang paling ramai bunuh diri adalah kaum Cina, diikuti India dan Melayu. 

“Lazimnya orang Melayu jarang bunuh diri kecuali tekanan yang sangat hebat, antaranya hutang yang menjadi masalah utama,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 2/2024 di Bangunan Parlimen, hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, statistik kematian akibat bunuh diri pada 2019 adalah 609 kes, 621 (2020), 1,142 (2021) dan 981 kes bagi 2022. 

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kematian akibat bunuh diri itu, sebanyak 3,670 kes kematian bunuh diri membabitkan lelaki. 

“Daripada 48,903 panggilan yang diterima menerusi talian 15555, sebanyak 28,871 meminta bantuan sokongan emosi dan 20,032 bagi intervensi khusus. 

“Sebanyak 299 kes membabitkan tingkah laku bunuh diri, 170 idea bunuh diri dan 129 cubaan bunuh diri,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata, tindakan proaktif perlu diambil bukan saja oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis tetapi juga agensi lain yang boleh memberi kaunseling kepada individu terbabit. 

Mesyuarat itu membincangkan masing-masing dua Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman. 

“Ia membabitkan Kertas Pertimbangan 1: Peranan Agensi Secara Bersepadu dalam Menangani Situasi Terkini Tingkah Laku Bunuh Diri di Malaysia dan Kertas Pertimbangan 2: Pelaksanaan Silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) di Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.-BH Online