Kekalahan calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, petanda parti perlu berusaha lebih keras untuk menarik seramai mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengakui kepimpinan tidak sepatutnya mengambil mudah akan keputusan PRK lalu dengan terus menumpukan kepada agenda negara dan isu kebajikan rakyat.
Walaupun benar keputusan tidak mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri dan Persekutuan, beliau berkata, jumlah pengundi PRK biasanya cenderung lebih rendah, namun sedar keputusan mungkin dipengaruhi ketidakpuasan hati pengundi terhadap beberapa dasar terbaru Kerajaan MADANI, antaranya penyasaran subsidi diesel.
“Kami memahami bahawa para pengundi di sana, dari semua kaum telah memberikan kami mesej yang sangat jelas, terutamanya dalam bentuk penurunan jumlah pengundi, termasuk pengundi bukan Melayu dan peningkatan majoriti kepada pihak lawan.
“Kami memahami bahawa isu penyasaran subsidi diesel adalah kontroversi, bukan sahaja bagi komuniti Cina tetapi juga bagi kebanyakan pengundi secara keseluruhan.
“Pastinya, kita mesti terus menjelaskan mengapa perkara ini perlu dilakukan, sambil membetulkan salah faham atau fitnah tentang isu-isu tertentu seperti penswastaan MAHB,” katanya dalam kenyataan kepada BH hari ini.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata Kerajaan MADANI percaya bahawa pembaharuan yang dilaksanakan adalah perlu untuk kelangsungan masa depan negara.
Mengenai pelaksanaan skim subsidi diesel semasa sebagai contoh, beliau berkata, ia jelas tidak begitu mampan dan bahkan pihak pembangkang turut mengakui perkara ini.
“Kerajaan telah membelanjakan RM14.3 bilion untuk subsidi diesel sahaja pada 2023 dan banyak yang telah terbukti, selepas penyasaran, telah didedahkan melalui penyeludupan atau pembelian oleh warga asing.
“Kerajaan telah memperkenalkan skim BUDI Madani untuk terus menyediakan subsidi kepada pengguna yang layak, termasuk mereka dalam sektor ekonomi penting. Kementerian yang terlibat telah menunjukkan kesediaan untuk bersikap fleksibel bagi menangani masalah pelaksanaannya.
“Meneruskan subsidi diesel secara menyeluruh dalam jangka masa panjang adalah tidak mampan kerana ia akan membebankan generasi akan datang dengan hutang yang berat dan menggagalkan tumpuan peralihan tenaga kita, ” katanya.
Tentang bekalan air di Pulau Pinang, Nik Nazmi berkata, ia terus menjadi isu utama kempen pilihan raya dan kerajaan terus bekerja keras sejak mengambil alih pentadbiran untuk menangani isu ini bersama dengan kerajaan negeri.
Mengulas infrastruktur air yang tergolong komponen utama dalam isu bekalan air, katanya ia tidak boleh dilakukan dengan tarif rendah.
Bahkan katanya, semua kerajaan negeri termasuk Perikatan Nasional (PN) turut mendesak kerajaan sekarang untuk membenarkan kenaikan tarif air bagi menangani isu ini.
“Inisiatif seperti ini mungkin tidak popular, tetapi menangani isu-isu ini adalah apa yang dilakukan oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Pengkritik mungkin mendakwa bahawa masa tidak sesuai terutamanya dengan ekonomi yang masih pulih daripada COVID-19 dan rakyat masih bimbang tentang kos sara hidup.
“Tetapi realitinya adalah bahawa masa sekarang merupakan tempoh terbaik untuk melakukan perkara yang betul. Menangguhkan tindakan hanya akan mengakibatkan kesusahan yang lebih besar kepada rakyat, ” katanya.
Dalam masa sama, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, turut mengakui kerajaan perlu berkomunikasi dengan lebih baik mengenai isu subsidi diesel, MAHB dan isu lain di Dewan Rakyat, media sosial, dalam ceramah, dan platform lain.
“Kami telah menjawab sebaik mungkin di samping interaksi dengan penyokong serta pengkritik. Namun sudah pasti perhatian rakyat sering tertumpu kepada usaha mencukupkan keperluan hidup, justeru kami mesti menggandakan usaha dan tidak boleh terputus hubungan dengan nadi rakyat, ” katanya.-BH Online