Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis dengan kemungkinan untuk satu lagi penyertaan atlet negara dalam Sukan Olimpik tahun ini di Paris.
Ini selepas atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri disahkan dapat membuat penampilan ketiganya dalam temasya sukan terbesar dunia itu menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Malah, perkembangan itu juga mendorong untuk seorang lagi atlet terjun negara, Ooi Tze Liang dipertimbangkan untuk mewakili negara dalam acara terjun dalam temasya itu menerusi slot tambahan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya optimis satu lagi slot tambahan dalam acara terjun dapat dipertimbangkan Akuatik Dunia bagi membolehkan seorang lagi atlet negara dapat menyertainya.
“Sangat besar harapan kita (KBS) supaya kita dapat slot yang diidam-idamkan untuk kita hantar seorang lagi atlet sukan terjun ke sukan itu.
“Itu (sukan terjun) antara sukan berpotensi dalam menyumbang pingat kepada kita semua.
“Sekarang ini kita melihat perkembangan itu sebagai satu perkhabaran terbaik buat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Jumpa Orang Muda anjuran KBS di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau, di sini, hari ini.
Katanya, berhubung satu lagi slot tambahan yang dijangka diisi oleh Tze Liang, pihaknya masih menantikan perkembangan positif mengenainya.
“Kita mengharapkan dapat lebih lagi (slot) bagi membolehkan atlet kita bertanding dalam temasya berprestij itu,” katanya.
Sehingga kini, seramai 26 atlet yang akan mengibarkan cabaran negara dalam Sukan Olimpik tahun ini membabitkan 10 jenis sukan seperti terjun, renang, pelayaran, menembak, berbasikal, angkat berat, badminton, golf dan olahraga.
Bagi acara terjun, kontinjen negara akan diwakili Bertrand Rhodict Lises bagi acara 10 meter platform dan Dhabitah bagi acara tiga meter papan anjal.-BH Online