Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden membabitkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

“Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku, tetapi (juga akan) mengambil tindakan, terutama kalau perlu pinda akta, dan kita lihat apakah kelemahan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Gombak Setia di sini, hari ini.nullnull

Mayat pempengaruh wanita berusia 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat lalu.

Fahmi berkata, masalah utama menangani buli siber adalah kebanyakan pelaku bersembunyi di sebalik akaun palsu sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mereka. 

“Salah satu aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi daripada pihak polis adalah akaun-akaun yang terbabit dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan ini, berselindung di sebalik ‘fake account’, tidak dapat dikenal pasti identiti individu yang mengeluarkan komen atau terbabit dalam ‘scam’ dan sebagainya,” katanya.

Fahmi berkata, keluarga pempengaruh itu sudah membuat laporan polis dan pihak kementerian juga berhubung dengan TikTok yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama lebih proaktif.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai termasuk penjawat awam supaya mengelak daripada menjadi pembuli siber, sebaliknya terus mengekalkan adab dan budaya ketimuran.

Katanya, pihaknya akan menimbangkan keperluan meminda akta sedia ada berkaitan buli siber, dan menegaskan individu yang terbabit dengan kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan.

“Perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan saya juga bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.

“Kesalahan bukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang juga satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, jadi Insya-Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah-langkah perlu kita ambil,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam yang mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan. – BERNAMA