Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelantikan 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Ketua Kampung untuk penggal baharu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata pelantikan berkenaan telah diselaraskan oleh unit Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa Dan Luar Bandar, Unit Perancangan Ekonomi Negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah.

“Sebagaimana amalan sebelum ini, pengagihan jumlah dalam pelantikan ketua komuniti dilakukan berdasarkan rundingan antara pemimpin parti-parti politik dalam gabungan kerajaan Selangor.

“Apabila persetujuan dicapai barulah proses pemilihan ketua-ketua kampung dilaksanakan mengikut garis panduan, dasar, tatacara peraturan mengenai pelantikan dan perkhidmatan ketua kampung tradisi serta urusan majlis pengurusan komuniti kampung negeri Selangor,” katanya.

Rizam berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Noor Najhan Mohamad Salleh (PAS-Sementa) mengenai status terkini pelantikan Pengerusi JPKK dan isu pelantikan itu yang tertangguh beberapa kali.

Sebelum ini, UMNO Selangor dilaporkan telah mengembalikan semula tawaran 75 daripada 373 jawatan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) atau ketua kampung yang ditawarkan untuk parti itu kepada kerajaan negeri baru-baru ini.-Berita RTM