Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekutuan FT1 Seberang Perai Selatan di sini yang dijangka siap sepenuhnya Februari tahun depan, bakal menampung sehingga 1,000 kenderaan melalui kawasan itu dalam sehari.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ketika ini, kenderaan perindustrian atau muatan berat menggunakan laluan taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian bagi urusan perdagangan.

“Hal ini menimbulkan kerisauan dari aspek keselamatan penduduk sekitar taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian kerana laluan sedia ada yang sempit.

“Projek jalan ini menghubungkan Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal dengan Jalan Negeri P146-Jalan Bukit Panchor.

“Pembinaan jalan ini mampu menampung sehingga 1,000 kenderaan sehari,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kemajuan projek itu di sini, hari ini.

Katanya, pembinaan jalan juga dapat menghubungkan penduduk dari Sungai Kechil, Sungai Bakap, Taman Ilmu dan Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian ke pekan Nibong Tebal.

Ahmad berkata, projek itu kini berada di tahap 74.65 peratus kemajuan fizikal, mendahului jadual sebanyak 45 hari.

“Tarikh milik tapak adalah pada 30 Mac 2022 dan kontrak asal projek ini ialah RM11.26 juta.

“Skop projek membabitkan kerja menaik taraf dan membina jalan sepanjang 1.2 kilometer (km), membina persimpangan baharu dan menaik taraf persimpangan sedia ada serta membina sistem saliran.

“Turut termasuk dalam skop projek ialah pemasangan lampu isyarat, lampu jalan di persimpangan dan pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti seperti paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Gas Malaysia, kabel Telekom Malaysia (TM), Maxis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek itu dengan menepati mutu ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.

“Fokus berterusan terhadap jalan ini adalah komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membina rangkaian jalan raya selaras hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur selesa dan selamat kepada rakyat secara konsisten,” katanya.-BH Online