Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Skuad bola sepak kebangsaan selepas ini tidak perlu lagi ‘menumpang’ atau ‘berpindah-randah’ bagi menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan antarabangsa.

Ini selepas Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terletak di Presint 5 di sini sudah pun mula di bina dan dijangka siap seawal Disember 2026.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pembinaan NTC FAM di tapak berkeluasan 5.2 hektar itu akan membabitkan dua fasa dengan Fasa 1 dijangka siap pada Disember 2026 manakala Fasa 2 setahun kemudian.

Katanya, Fasa 1 pembinaan dibiayai menerusi peruntukan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berjumlah RM24 juta manakala Fasa 2 yang menelan kos sebanyak RM45 juta dibiayai oleh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Fasa 1 akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn Bhd dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

“Tiga jenis padang berbeza akan dibangunkan iaitu pada buatan atau sintetik; padang rumput semula jadi (Bermuda) dan padang hidbrid. 

“Setiap padang akan dilengkapi dengan sistem pencahayaan malah projek Fasa 1 ini juga termasuk sistem saliran yang berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekitar kawasan padang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah NTC FAM di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia Datuk Seri Windsor John dan Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia & Oceania) Sanjeevan C Balasingam.

Menurut Hamidin, bagi Fasa 2 pembinaan NTC FAM, Jabatan Kerja Raja (JKR) iaitu agensi di bawah Kementerian Kerja Raya diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan tender dijangka dibuka pada September depan.

“Projek NTC Fasa 2 akan membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1682.80 meter persegi. Bangunan blok utama itu terdiri daripada gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau selain pembinaan bumbung bagi padang tiruan yang sudah siap pada Fasa 1,” katanya.

Hamidin, berkata pembinaan NTC FAM ini adalah hasil cetusan ihlam bekas Presiden FAM, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang menerajui badan induk itu dari 1984 hingga 2014.

Katanya, selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dr Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini menggalas tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

“Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau, berharap apabila pembinaan NTC FAM itu siap sepenuhnya, ia akan menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur badan induk itu yang sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya pusat latihan kebangsaan ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun.

“Saya juga berharap berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di sini, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan,” katanya.-BH Online