Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedia membantu pelajar cemerlang yang tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya disebabkan faktor kemiskinan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sekiranya ada pihak yang mempunyai makluman mengenai perkara terbabit supaya menghubunginya.

“Tolong maklumkan pada saya jika ada pelajar cemerlang yang tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana faktor kemiskinan.

“Hanya ilmu yang boleh merubah kehidupan. MARA sedia bantu, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, terdapat 346 institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai program yang boleh membantu anak Melayu dan Bumiputera untuk peroleh ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang di bawah MARA.

“MARA turut menawarkan program bertaraf sijil kemahiran, sijil profesional, diploma, diploma tinggi, diploma kompetensi, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

“MARA juga mempunyai 57 institusi pendidikan peringkat menengah iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berada di seluruh Malaysia,” katanya.

Terdahulu, permohonan pinjaman pelajaran MARA dibuka bermula 27 Mei hingga 10 Jun lalu untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu menyambung pengajian.

Katanya, permohonan itu bagi golongan yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara terpilih.-BH Online