Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kelemahan ringgit yang berlaku pada 2023 adalah antara faktor utama yang menurunkan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024, demikian menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, data yang diambil dalam WCR 2024 adalah berdasarkan prestasi ringgit pada tahun lalu, sekali gus menjadikan berlakunya jurang tahunan indikator-indikator utama pada 2024.

“Salah satu indikator yang paling besar adalah kestabilan ringgit yang memberikan kesan kepada produktiviti dan keberkesanan kerana semua ini berkaitan kepada kestabilan.

“Seperti yang kita semua tahu, ringgit banyak terjejas pada 2023 jadi daya saing kita terjejas disebabkan itu. Tetapi tahun ini ringgit semakin mengukuh dan kedudukan kita akan memberikan momentum yang lebih baik untuk WCR 2025,” katanya selepas merasmikan The Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution oleh Bursa Malaysia di sini hari ini. 

Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), baru-baru ini.-BH Online