Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan input dan maklumat lanjut daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus (STSS) yang melanda Jepun ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata maklumat terbabit penting supaya Malaysia dapat membuat persediaan serta mengambil langkah sewajarnya.
“Kita belum mendapat apa-apa maklumat atau perkembangan dan kita memerlukan input daripada WHO kerana ia sangat mustahak.
“Sebaik mendapat maklumat itu, kita dapat bersedia dan seterusnya dapat mengambil langkah kawalan,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran myBRP@CKAPS, hari ini.
Jepun mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 pada tahun 2024, lapor Xinhua yang memetik Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID) pada Selasa.
Setakat 9 Jun, jumlah kes awal di negara ini sejak awal tahun 2024 mencecah 1,019, menurut data daripada NIID, menandakan peningkatan ketara dalam penyebaran jangkitan bakteria yang teruk ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
STSS, juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba yang disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A.
Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.
Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu lembut, kegagalan pernafasan, kegagalan hati, kegagalan buah pinggang dan kegagalan pelbagai organ, dengan kadar kematian melebihi 30 peratus.
Penyebaran penyakit ini, atau “jangkitan bakteria pemakan daging” kerana keparahannya, berlaku dengan lebih cepat tahun ini. Sehingga 2 Jun, sebanyak 977 kes telah dilaporkan, melebihi jumlah keseluruhan 941 kes sepanjang tahun lepas.
Laporan mingguan mengenai trend penyakit berjangkit daripada NIID, yang meliputi tempoh dari 3 hingga 9 Jun, menunjukkan bahawa Tokyo mencatatkan bilangan kes tertinggi yang disahkan tahun ini dengan 150, diikuti oleh Wilayah Aichi dan Saitama dengan masing-masing 69 dan 68 kes.
STSS disebarkan terutamanya melalui titisan daripada mukosa hidung atau tekak, dan melalui sentuhan dengan luka.
Pakar memberi amaran bahawa gejala awal jangkitan bakteria ini sering disalah anggap sebagai selsema biasa, disebabkan oleh perkembangan penyakit yang cepat.
Demam panas disertai dengan kecelaruan atau kemerahan yang merebak dengan cepat di sekitar luka adalah tanda amaran yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Pakar kesihatan menggesa sesiapa yang mengalami gejala teruk ini untuk segera mendapatkan rawatan perubatan bagi mengelakkan perkembangan penyakit yang berpotensi mengancam nyawa.-BH Online