Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri China, Li Qiang hari ini mengulangi pendirian Malaysia sebagai jiran rapat dan rakan kongsi penting, menekankan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama dan memajukan pembangunan bersama. 

Li berkata, pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping tahun lepas, mencapai konsensus penting mengenai pembinaan komuniti China – Malaysia dengan masa depan bersama, menggariskan pelan tindakan baharu untuk hubungan dua hala Malaysia – China.

“Berdiri di titik permulaan sejarah baharu, persahabatan China – Malaysia seperti landasan kereta api berterusan, merentangi gunung dan lautan, dengan masa depan yang cerah. null

“Marilah kita mengambil peluang bersejarah ini, melaksanakan projek sedia ada dengan baik, terus mengembangkan bidang kerjasama baharu, mengukuhkan lagi dasar komunikasi, kemudahan ketersambungan, aliran perdagangan, integrasi kewangan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, dan memberi manfaat lebih baik kepada rakyat dua negara,” katanya.

Li berkata demikian pada majlis pecah tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak di sini semalam yang turut dihadiri Anwar.

Bercakap mengenai Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km yang menelan belanja sebanyak RM50.2 bilion, Li berkata China bersedia bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memastikan projek berkenaan menjadi laluan kepada kemakmuran yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. 

Menekankan bahawa pengangkutan ialah talian hayat ekonomi, beliau berkata projek ECRL bukan sahaja berfungsi sebagai nadi pengangkutan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup. 

“China bersedia membantu Malaysia dalam memberi tumpuan kepada operasi seterusnya, pembangunan dan perancangan di sepanjang laluan rel, dan mendorong pembangunan dalam sektor seperti perdagangan, logistik dan pelancongan, mencapai faedah ekonomi dan sosial yang lebih besar. 

“Pada masa yang sama, projek ECRL juga akan mempunyai kesan jangka panjang dan limpahan yang meluas. 

“Malaysia, terletak di tengah-tengah Asia Tenggara dengan kelebihan serantau yang unik, berpotensi menghubungkan ECRL dengan landasan kereta api Laos – China dan Thailand – China, sekali gus menjadikan Rangkaian Kereta Api Pan Asia daripada konsep kepada realiti dan memajukan pembinaan laluan perdagangan laut dan darat antarabangsa baharu, meningkatkan ketersambungan serantau dan memperdalam pembinaan komuniti ASEAN,” katanya.

Dengan matlamat untuk meningkatkan ketersambungan dan merangsang pembangunan ekonomi, projek ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, bersedia menjadi pengubah keadaan ekonomi terutamanya meningkatkan rangkaian pengangkutan Malaysia. 

Ia dijangka siap menjelang penghujung 2026. 

Projek infrastruktur besar-besaran yang menyambungkan Pantai Timur dan Barat Malaysia dengan 20 stesen, merupakan bukti hubungan dua hala yang kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing. 

Li memulakan lawatan rasminya ke Malaysia kelmarin, yang akan berakhir hari ini. 

Lawatan ini ialah kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023. 

Ia juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China, susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.– BERNAMA