Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini perlu sentiasa mesra dan bersedia mendengar masalah dihadapi oleh rakyat.

Baginda bertitah sebagai aset penting kerajaan, penjawat awam perlu memastikan setiap dasar yang digubal dilaksanakan dengan cekap demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dicapai.

“Sesungguhnya bagaimana elok sekalipun sesuatu dasar yang telah digubal, ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan.

“Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar itu perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, dekat sini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Selaku pelaksana dasar, titah baginda rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada pegawai kerajaan dan mereka perlu memahami masalah yang dikemukakan dan berusaha menyelesaikannya dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Tengku Amir Shah turut bertitah supaya pegawai daerah, pegawai dan petugas Pejabat Daerah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah, yang mewakili Sultan Selangor di setiap daerah demi kemajuan negeri selain membantu mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.-Harian Metro