Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Peringkat Wilayah Persekutuan diaktifkan semula bagi membincangkan isu rumah ibadat selain Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau memaklumkan perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan (MTPWP) yang dipengerusikannya, hari ini. 

“Antara perkara dibangkitkan ialah berkenaan Jawatankuasa RISI Peringkat Wilayah Persekutuan yang sudah lama tidak bersidang bagi membincangkan isu-isu rumah ibadat selain Islam.

“Mesyuarat bersetuju supaya Jawatankuasa RISI Peringkat Wilayah Persekutuan diaktifkan semula dan akan bersidang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Dr Zaliha berkata, mesyuarat berkenaan juga membincangkan perkembangan terkini Projek Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Wilayah Persekutuan. 

Beliau berkata, ia turut membabitkan pelaporan e-Kasih, inisiatif berkenaan penoktahan kemiskinan tegar, serta perkara berbangkit mengenai pembangunan dan kemajuan Wilayah Persekutuan.

“Saya juga mencadangkan supaya satu bengkel diadakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan bersama Ahli Parlimen di Kuala Lumpur bagi meneliti dan memahami kehendak rakyat di Kuala Lumpur menjelang persediaan pembangunan Rolling Plan Kelima RMK-12.

“Insya-Allah, semoga segala perbincangan dan perancangan dalam mesyuarat hari ini akan menatijahkan hasil yang baik, sekali gus memanfaatkan warga kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.-BH Online