Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menyasar semua negeri yang mempunyai pelabuhan dalam siasatan berhubung penipuan kontena yang menyebabkan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pelabuhan di Sabah dan negeri lain yang terbabit kini dalam perhatian SPRM selepas kejayaan agensi itu mengesan kegiatan penipuan kontena yang terbesar di Selangor, baru-baru ini.nullnull
Beliau berkata, usaha itu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bertujuan memastikan ketirisan yang berlaku dapat diatasi dan wang hasil cukai yang sepatutnya dikutip dapat dikembalikan di negeri yang terbabit.
“Kita (SPRM) beri amaran kerana Sabah juga dalam perhatian kami, begitu juga mana-mana negeri lain yang ada pelabuhan. Ini kerjasama kami dengan pihak kastam dan agensi lain untuk membanteras ketirisan yang berlaku disebabkan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan orang yang diberi amanah.
“Ia adalah usaha untuk mengembalikan duit rakyat bagi memastikan cukai dibayar dan dipungut pihak kastam. Kalau ketirisan itu berlaku di Sabah, maka duit itu dikembalikan di negeri ini.
“Bagi yang sudah terlepas, kita akan guna Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan SPRM, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun dan turut dihadiri Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau serta Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar dan Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy.
Azam berkata, SPRM komited membongkar kegiatan penipuan kandungan kontena yang menyebabkan kerajaan kerugian dari segi nilai cukai yang tidak setimpal berikutan penipuan barangan yang diikrar.
“Ini kerana banyak ketirisan yang berlaku apabila kontena diikrar dengan tidak betul. Ada kontena diikrar kononnya membawa kerusi roda tetapi rupanya di dalam itu (daging) babi dan barangan elektrik pun ada.
“Jadi sepatutnya bayaran cukai itu lebih tinggi. Modus operandi ini berlaku di banyak tempat di Malaysia dan kita beri amaran semua negeri, termasuk Sabah, satu hari nanti SPRM akan sampai juga,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai siasatan kemungkinan berlaku kes baharu membabitkan isu pembekalan air di Sabah, Azam berkata setakat ini tiada perkara tidak baik dikesan seperti yang berlaku pada 2017.
“Setakat ini tiada perkara yang tidak baik hasil pemantauan yang kami lakukan berhubung isu air di Sabah berbanding kes pada 2017 yang mana kes itu sekarang dalam perbicaraan.
“Ketika itu kes berpunca apabila SPRM dapat banyak maklumat dan rungutan daripada rakyat Sabah mengenai wang dibelanjakan dengan banyak diberikan kepada Sabah tetapi tidak turun ke bawah, jadi itu mendatangkan pemantauan kami.
“Selepas itu, Alhamdulillah, walaupun ada juga kepincangan di sana sini tetapi sekarang lebih baik,” katanya.
Pada majlis itu, Masidi menyaksikan SESB dan SPRM menandatangani MoU bagi kerjasama membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat pembekal elektrik di Sabah dan Labuan itu.-BH Online