Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi salah satu medium penghantaran produk Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) susulan pemeteraian dua memorandum persefahaman oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) semalam.
Selain PERODUA, MRL turut memeterai MoU bersama Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (Kuantan Port), menandakan potensi kerjasama jangka panjang untuk perkhidmatan pengangkutan barang menerusi ECRL yang akan bermula menjelang Januari 2027.
Pembentukan MoU antara MRL dan PERODUA serta antara MRL dan Kuantan Port juga bersedia untuk merangsang pelbagai peserta industri untuk menukar pergerakan kargo dari jalan raya ke rel dengan rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer akan melancarkan pengangkutan antara timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata MoU yang dimeterai akan membuka kunci nilai ECRL bukan sahaja sebagai pengangkutan yang berdaya maju untuk rakyat, malah juga perkhidmatan logistik yang boleh dipercayai untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa.
“ECRL berfungsi sebagai pemboleh ubah dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan pembangunan ekonomi, disokong oleh ‘jambatan darat’ yang menghubungkan dermaga Kuantan Port ke dermaga di Northport dan Westports di Pelabuhan Klang.
“Kesalinghubungan ‘last-mile’ yang penting ini antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang akan menyelaraskan pemindahan barang antara pelabuhan dan menangani isu pengendalian berganda kargo,” katanya kepada media selepas pemeteraian dua MoU itu di sini, hari ini.
Pada majlis pemeteraian itu, MRL diwakili Darwis, manakala PERODUA diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, sementara Kuantan Port diwakili Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Bhd, Lee Chun Fai.
Ia disaksikan Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, PERODUA sedang meneroka langkah untuk mempelbagaikan cara mengangkut produknya dan ECRL ialah pilihan yang berdaya maju untuk keperluan terbabit.
“MoU ini akan membolehkan kami meneroka secara terperinci semua peluang untuk kedua-dua pihak. Pakatan dengan MRL dan PERODUA menandakan langkah penting dalam mengoptimumkan rangkaian logistik kami,” katanya .
Sementara itu, bagi memanfaatkan ECRL, Kuantan Port menyasar untuk meningkatkan ketersambungan dan kecekapan, dengan menawarkan kos logistik yang kompetitif dan menambah baik masa penghantaran.
“Kerjasama strategik ini akan meningkatkan keupayaan logistik kami, mewujudkan Pelabuhan Kuantan sebagai pintu masuk utama ke Timur dan mengukuhkan hubungan perdagangan di rantau ini.
“Ia akan memudahkan pergerakan barangan yang lebih lancar, menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur, dan memacu faedah ekonomi yang ketara, termasuk penciptaan pekerjaan dan peluang perdagangan yang dipertingkatkan,” kata Chun Fai.
Sementara itu, Loke berkata, sebagai projek infrastruktur negara, kementerian optimis bahawa ECRL akan menjadi mod peralihan daripada jalan raya ke rel sebaik sahaja ia beroperasi.
Beliau berkata, kerajaan menggalakkan penghantaran kargo antara negeri Pantai Timur dan Lembah Klang melalui ECRL sebagai alternatif kepada pengangkutan jalan raya.
Katanya, peralihan dari jalan raya ke rel untuk pengangkutan barang adalah menjimatkan kos dan mesra alam, memandangkan ECRL dijana elektrik sepenuhnya dan menghubungkan bandar-bandar utama di Pantai Timur.
“MOT menyokong langkah untuk mengangkut barang ke pelabuhan melalui rel kerana ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Dalam konteks yang lebih luas, peralihan dari jalan raya ke rel mewujudkan ekosistem pengangkutan yang kondusif dan memudahkan pergerakan yang lancar.
“MOT mungkin mengetatkan peraturan penggunaan jalan raya untuk kenderaan berat bagi mengoptimumkan penggunaan ECRL,” katanya.-Bh Online