Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menamatkan kemarau penantian pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik menjadi keutamaan kontinjen Malaysia di Paris 2024. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sejak program Road to Gold (RTG) dilancarkan pada Januari tahun lalu, keutamaan adalah tertumpu kepada kilauan emas dan setakat ini tiada lagi perbincangan menjurus kepada pungutan pingat yang lain ditetapkan.

“Sasaran pingat memang seperti saya nyatakan, mensasarkan untuk dapatkan emas pertama Malaysia. Itu hasrat RTG, yang lain setakat ini tak ada dalam perbincangan mengenainya kerana tahun lalu, pada Januari ketika kita wujudkan RTG, memang sasaran kita adalah emas. 

“Itu yang kita nak… pingat lain itu bukan kata tak nak tetapi kita pernah dapat perak, gangsa tetapi apa yang kita nak adalah emas dan emas ini bagi saya, atlet kita di RTG memang berada dalam kelompok 10 (dunia) dan kita rasa ada peluang. 

null

“Harap kita berjaya dapatkannya,” kata Hannah kepada media selepas menghadiri Program Subang Jaya Buddist Associations Senior Citizens Sports, hari ini. 

Untuk rekod, RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.

Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan bertemu dengan olimpian yang bergerak secara profesional untuk melihat bantuan diperlukan menjelang Paris 2024. 

“Untuk atlet yang tidak berada dalam RTG, seperti Lee Zii Jia dan pemain golf profesional, saya akan berjumpa mereka sekiranya ada dalam negara… saya akan melihat bantuan kewangan yang MSN (Majlis Sukan Negara) boleh bantu bagi atlet di luar podium tetapi mereka layak ke Olimpik dan wakili Malaysia. Itu kita akan umumkan nanti,” katanya.-BH Online