Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Ankara, Turkiye bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama lima hari ke republik berkenaan bermula hari ini.

Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara Esenboga pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) sebelum disambut Charge d’Affaires Malaysia di Ankara, Clara Soon May Lynn dan Pegawai Pengiring Turkiye, Laksamana Pertama Nilufen Cotuk.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia dan Turkiye telah merintis hubungan diplomatik yang baik termasuk menerusi konteks pertahanan.

“Pastinya kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya bagi memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua dua negara.

“Dalam rangka lawatan rasmi ini, satu Mesyuarat Malaysia-Turkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC) akan diadakan buat julung kalinya,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, sesi dua hala antara kedua-dua negara ini akan melibatkan delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Ministry of National Defense Turkiye (MoND).

“Saya turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Minister of Defense Turkiye, Yaşar Güler.

“Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Dengan Kerajaan (G2G) berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan serta Perjanjian-Perjanjian Kolaborasi dan Kerjasama melibatkan pemain-pemain industri pertahanan Malaysia dan Turkiye akan turut dimeterai,” jelasnya.

Menerusi lawatan kerja rasmi itu, Mohamed Khaled turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB).

Untuk rekod, SSB merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan negara itu selain membekalkan teknologi ketenteraan.

“Pertemuan yang sama juga akan diadakan bersama anak syarikat dan sekutunya, STM.

“Semasa berada di sini, saya akan mengadakan lawatan industri ke syarikat pertahanan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ), Aselsan selain Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) serta DESAN Shipyard,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE