Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu tiga individu disyaki terbabit dalam kes ‘kontena terbang’ atau kontena lari cukai termasuk seorang warga Singapura yang dipercayai dalang kegiatan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon kerjasama polis Singapura bagi mengesan individu berkenaan.

“Kita akan tahan tiga lagi suspek (termasuk) ada seorang warga Singapura… jika individu itu berada di negara terbabit, kita akan dapatkan kerjasama mereka (polis Singapura).null

“Setakat ini tidak ada keperluan melibatkan Interpol,” katanya selepas menghadiri Majlis Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala KP SPRM 2024 di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini hari ini.

Azam mendedahkan, antara modus operandi sindiket berkenaan adalah mengikrarkan barangan dalam kontena sebagai barangan perubatan seperti kerusi roda, namun sebenarnya mengandungi daging babi yang diseludup. 

Khamis lalu, tujuh individu termasuk pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan melalui Op Transit selepas terbabit dalam kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mereka disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Hasil operasi dijalankan SPRM dan JKDM Rabu lalu itu berjaya menahan 19 kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Dalam pada itu, Azam ketika ditanya sama ada insiden kebakaran 14 kontena di Pelabuhan Barat Pulau Indah semalam mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket berkait kes kontena terbang itu, berkata setakat ini pihaknya belum menerima maklumat sama ada ia berkaitan dengan siasatan itu. – BERNAMA