Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengakui wujudnya gerakan yang cuba melakukan pembunuhan watak (character assassination) terhadapnya, sejak akhir-akhir ini.

Baginda bertitah, perkara itu berlaku terhadapnya mungkin kerana baginda adalah satu-satunya anak Raja yang paling lantang bersuara memperjuangkan isu rakyat.

Titahnya, tindakannya itu mungkin menyebabkan ada pihak luar yang kurang senang terhadapnya.

“Saya tak boleh dibeli, saya tak boleh dijolok-jolok dengan projek untuk saya diam. Kalau perkara itu betul, saya akan cakap betul dan sekiranya perkara itu tak betul, saya akan cakap tak betul, tak kisah ia dari kerajaan ataupun parti politik.

“Oleh kerana kelantangan saya dan sentiasa memainkan isu kepentingan negeri Johor dan rakyat Johor, ada pihak luar yang kurang senang dengan saya dan adanya gerakan ‘character assassination’ ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika sesi podcast secara langsung pada Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan barisan EXCO Johor.

Pada masa sama, baginda tidak terkesan dengan gerakan itu dan akan terus meneruskan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

Titahnya, dengan kuasa dan pangkat yang ada, kepentingan Johor dan seluruh rakyatnya akan terus menjadi keutamaan baginda sampai bila-bila.

“Ini adalah motivasi buat saya, saya harap apabila saya sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, rakyat Johor akan kenang jasa dan perkhidmatan saya kepada negeri ini.

“Jika saya tidak boleh guna kedudukan yang diberikan ini dan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk melakukan perubahan, baik tidak perlu kedudukan ini.

“Matlamat saya adalah untuk membuat perubahan dan perbaiki negeri Johor dan kehidupan rakyatnya dari setiap aspek termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya,” titah baginda.-BH Online