Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perkara berkaitan kelewatan pelaksanaan projek adalah antara isu yang ditekankan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, terdapat keperluan supaya perkara berkenaan diatasi secara berhemah menerusi perubahan proses kerja dan penggunaan teknologi baharu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berharap agar perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta program Pembangunan Kerajaan berjalan lancar berdasarkan perancangan secara bersepadu. 

“Saya juga berpuas hati dengan pencapaian prestasi pembasmian kemiskinan yang menunjukkan penurunan drastik. 

“Selain itu, saya bersetuju supaya penggunaan ‘Building Information Modelling’ (BIM) diperluas kepada projek kerajaan dan swasta. 

“Semua kementerian, agensi dan pihak berkepentingan perlu bergerak seiring, secara terancang dan bersepadu bagi memastikan pencapaian, keberhasilan perancangan dan pelaksanaan projek serta pembangunan negara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MTPN yang bertanggungjawab memutuskan strategi dan hala tuju pelaksanaan pembangunan negara.-BH Online