Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan sedang melaksanakan semakan semula dasar dan hala tuju industri minyak dan gas bagi membolehkannya terus berdaya saing dan kekal menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu termasuklah menyemak semula Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) Kebangsaan bagi tempoh 2021-2030.

Beliau berkata, bagi melaksanakannya dan membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat dan memahami kedudukan semasa industri minyak dan gas terutamanya OGSE, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama rakan strategik iaitu Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan PETRONAS melaksanakan Banci OGSE 2024.

Banci OGSE itu katanya penting bagi memahami ketahanan industri dan membantu proses semakan semula kerana industri OGSE melalui pelbagai tempoh yang mencabar bermula dari 2015 sehingga sekarang.

null

Ini sekali gus membawa peserta domestik berdepan dengan banyak cabaran ditambah pula dengan perubahan drastik industri minyak dan gas negara sejak 15 tahun lalu.

“Industri sebenarnya berhadapan dengan perubahan di mana jumlah pengeluaran minyak mentah Malaysia menurun daripada kemuncak 650,000 tong sehari kepada 360,000 tong saja.

“Sektor gas juga berdepan dengan situasi sama. Permintaan gas asli naik tetapi pada masa sama keluaran dalam negara tidak lagi menampung. Perubahan ini bukan saja memerlukan anjakan serta pelarasan dasar kerajaan tetapi sektor OGSE yang lebih mampan dan lebih berkembang tidak semata-mata melihat kepada pasaran tempatan,” katanya selepas merasmikan Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) 2024 di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus; Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Yatimah Sarjiman. 

Pada 2022, industri OGSE merekodkan hasil tahunan sebanyak RM72.7 billion dan pembabitan 59,000 orang tenaga kerja dalam negara.

Industri itu menyumbang sekitar 5 hingga 8 peratus kepada KDNK Malaysia, menjadikannya antara industri signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tidak hanya terdiri dari jenama-jenama besar nasional, industri OGSE turut merekodkan pembabitan 1,945 atau 85.1 peratus syarikat mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mengulas lanjut Rafizi berkata, langkah menyemak semula Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan adalah perlu kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu diperbaharui sejak pelancarannya pada 2021.

Beliau berkata, pelan hala tuju itu bertujuan mewujudkan persaingan yang lebih mantap dalam kalangan syarikat OGSE di Malaysia di samping usaha untuk menembusi pasaran baharu di luar negara serta meneroka peluang baharu dalam industri.

“Sejak dilancarkan sehingga sekarang banyak yang telah berubah. Antaranya agenda kerajaan untuk mencapai komposisi tenaga yang mampan yang menyebabkan beberapa keputusan besar telah dibuat.

“Tetapi sementara kita dalam proses ke arah tenaga mampan itu akan menyebabkan akan ada masa memerlukan lebih bekalan gas dalam negara. Jadi corak penggunaan itu telah bertukar 100 peratus sejak pelan itu dibuat pada 2020.

“Corak penggunaan, permintaan dan bekalan telah berubah dengan drastik malah suasana industri juga sudah berbeza,” katanya.

Banci OGSE yang julung kali dilaksanakan itu bertujuan mengukur prestasi sektor OGSE serta menetapkan penanda aras baharu untuk statistik OGSE di Malaysia.

Ia meliputi sebanyak 3,582 pertubuhan di Malaysia yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan dan bekalan peralatan kepada syarikat-syarikat yang menceburi aktiviti huluan minyak dan gas. 

Maklumat yang dikumpulkan daripada banci ini termasuk aktiviti teras OGSE, pekerjaan, pendapatan, perbelanjaan, harta tetap, eksport dan parameter ekonomi lain.-BH Online