Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

China memberikan komitmen untuk memasarkan produk halal Malaysia kepada 1.4 bilion penduduk di negara itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesediaan itu disampaikan Perdana Menteri China, Li Qiang dan 

Timbalan Perdana Menteri, Ding Xuexiang, dalam lawatan rasminya selama 11 hari ke republik itu bermula 22 Mei hingga 1 Jun lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri halal negara supaya mengambil peluang berkenaan bagi memasarkan produk berkualiti untuk menembusi pasaran China yang amat besar.

“Dalam lawatan rasmi saya ke sana baru-baru ini, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara itu menyarankan supaya pasaran produk halal Malaysia turut dipasarkan ke China.

“Kerajaan China melalui syarikat Fortune 50 dan syarikat lain di sana bersedia membantu untuk pasarkan produk halal Malaysia kepada 1.4 bilion penduduk di republik itu.

“Produk halal bukan hanya sesuai dengan penduduk Muslim, namun kerana ramuan, proses dan kebersihan yang dibuat boleh diterima penganut bukan Islam di sana. China sambut baik peranan Malaysia sebagai peneraju produk halal antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ahmad Zahid sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke China dari 22 Mei hingga Sabtu lalu, atas jemputan rakan sejawatnya, Ding Xuexiang.

Lawatan rasmi berkenaan bersempena 50 tahun sambutan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China pada tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau akan membawakan isu insentif usahawan sektor halal ke Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Insya-Allah, esok Mesyuarat Jemaah Menteri saya akan bisikan kepada Perdana Menteri mengenai isu insentif kepada usahawan industri halal negara.

“Bukan sekadar insentif, malah Perdana Menteri amat dekat dalam mempromosi usaha supaya Malaysia dapat memainkan peranan utama memperkasa produk halal ke persada antarabangsa.

“Saya yakin, Perdana Menteri akan umum jika bukan esok (insentif usahawan sektor halal), akan diumum pada Belanjawan 2025 nanti,” katanya.-BH Online