Hari Gawai yang dirayakan masyarakat Dayak diraikan rakyat pelbagai kaum dalam suasana meriah di seluruh Sarawak, hari ini.
Sambutan dimeriahkan dengan tradisi kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ dalam bahasa Iban.
Rumah terbuka turut diadakan dengan ramai pemimpin dan kenamaan dalam kalangan masyarakat Dayak mengadakannya di bandar-bandar utama.
Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini menarik kira-kira 7,000 pengunjung hari ini apabila ia menjadi lokasi rumah terbuka anjuran pemimpin Dayak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, sama seperti perayaan lain, sambutan Hari Gawai mengukuhkan lagi semangat perpaduan kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
“Syukur, kita dapat meraikan Hari Gawai dalam keadaan yang baik dan tenang dengan suasana harmoni terus menjadi amalan.
“Walaupun Hari Gawai adalah perayaan masyarakat Dayak, kaum lain turut bersama meraikannya dalam suasana yang meriah,” katanya.
Beliau bersama isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan pemimpin lain menghadiri rumah terbuka berkenaan yang dianjurkan pemimpin masyarakat Dayak.
Penganjuran majlis berkenaan diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Abang Johari kemudian mengunjungi rumah terbuka bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Jalan Wan Alwi di sini.-BH Online