Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jepun sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di Gaza.
Perdana Menteri berkata, kesediaan itu disuarakan sewaktu pertemuan beliau bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida, hari ini.
“Kami berdua menyentuh yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu.
“Jepun menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah,” katanya.
Anwar kini dalam rangka lawatan ke Tokyo bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) yang bermula hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan itu yang berkisar tema ‘ASEAN Leadership In an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata pertemuan beliau bersama Fumida membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama antara negara.
“Ia meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
“Saya berharap hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” katanya.
Selain mesyuarat dua hala bersama Kishida, Anwar hari ini dijadual bertemu pemimpin industri terbesar Jepun, selain mesyuarat bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.-BH Online