Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Nasib balu dan empat cahaya mata kepada Allahyarham Mohd Azrul Rosli iaitu nelayan yang meninggal ketika mencari rezeki di laut pada 5 April lalu terbela selepas menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata Allahyarham Mohd Azrul yang ditemukan lemas adalah pencarum PERKESO menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), sejak 24 Februari 2020.

Menurut Steven, caruman itu dibuat menerusi inisiatif yang telah dijayakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang yang mencarumkan melalui potongan sekali dalam setahun menerusi elaun sara hidup bulanan diterima beliau dari LKIM.

Katanya, caruman itu melayakkan warisnya menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,395 untuk setiap bulan dan Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.

“Skuad PERKESO Prihatin yang mendapat makluman berhubung kes ini mendapati Allahyarham Mohd Azrul Rosli adalah pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO sejak lebih empat tahun lalu.

“Justeru, balunya, Aiza Musliha Muda menerima bayaran pertama FOT pada Jumaat lalu, hasil caruman Allahyarham untuk meneruskan kehidupan.

“Bayaran FOT berkadar RM1,395 akan diberikan dan dibahagi mengikut syer masing- masing untuk sepanjang hayat buat Aiza, manakala empat anak Allahyarham adalah sehingga mereka berusia 21 tahun atau selagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin ke kediaman Allahyarham Mohd Azrul, di Titi Teras, di sini, selain menyerahkan sumbangan wakallah PERKESO dan kotak prihatin.

Hadir sama, Pengarah LKIM Pulau Pinang, Raymond Rosidih, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan,Khairil Anuar Chek Matdan Pengurus Pejabat Perkeso Pulau Pinang, dan Chiam Hong Lan.

Pada 4 April lalu, gerakan mencari diaktifkan apabila Mohd Azrul dilaporkan tidak pulang daripada keluar menangkap ikan secara bersendirian, sebelum ditemukan meninggal dunia akibat lemas sehari kemudian.

Steven Sim berkata, ketika ini terdapat 37,047 nelayan sahaja yang berdaftar daripada keseluruhan 611,617 orang bekerja sendiri(OBS ) aktif menerusi Akta 789.

Beliau berkata, PERKESO sudah meluluskan sebanyak 1,925 kes tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jumlah pembayaran yang mencecah RM8.01 juta.-BH Online