Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan berjaya menjana potensi pelaburan serta perdagangan sekurang-kurang berjumlah lebih RM2.1 bilion, sekali gus bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran melalui Facebook, semalam.
Perdana Menteri memulakan kunjungan ke Kyrgyzstan pada 14 Mei lalu, diikuti Kazakhstan dan Uzbekistan.null
Kyrgystan and Uzbekistan adalah negara yang dikelilingi daratan. Kazakhstan pula adalah negara kesembilan terbesar di dunia dan bersempadan dengan Russia di utara; Laut Caspian di barat daya; Turkmenistan, Uzbekistan dan Kyrgyztan di selatan; serta China di timur.
Tiga negara itu adalah negara bekas Kesatuan Soviet.
“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Uzbekistan berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi dengan potensi eksport sekurang-kurang RM710 juta telah termeterai.
“Penghujung kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi saya ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa lalu, disusuli Kazakhstan pada Khamis,” kata Perdana Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sempat makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov, serta pimpinan lain, tidak jauh dari Kompleks Kalon Minaret sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Sebelum berangkat ke lapangan terbang, pimpinan Kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara yang dikenali sebagai ‘Chapan Bukhara’.
Anwar berkata, Achilbay dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov, kemudian mengiringi beliau dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara.
“Saya menzahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu.
“Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau juga amat menghargai hubungan persahabatan yang terjalin dengan Presiden Shavkat.
“Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami,” katanya. – BERNAMA