Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Ekonomi membuat penjajaran semula tiga agensi bermandat Bumiputera dengan menetapkan sasaran khusus menjelang 2030.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sudah ditetapkan semula sasaran yang perlu dicapai bagi membolehkan pemerkasaan Bumiputera dapat diangkat seiring dengan harapan kerajaan.

Katanya, YP ditetapkan untuk menyediakan 10,000 bakat Bumiputera yang bersedia bersaing dan menjadi pemain industri manakala TERAJU disasarkan menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat.

Ekuinas pula katanya ditetapkan untuk menyokong lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera yang mempunyai rekod prestasi dan keuntungan yang cemerlang. 

Melalui dana berjumlah RM800 juta, Ekuinas katanya akan melabur bagi menyokong pertumbuhan syarikat, memastikan mereka terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran,

“YP, TERAJU dan Ekuinas akan memainkan peranan yang khusus di dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera,” katanya selepas Majlis Taklimat Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini, hari ini. 

Rafizi berkata, YP kini perlu fokus kepada pembangunan bakat dalam meningkatkan kelas pencipta nilai Bumiputera, sementara TERAJU akan bertindak sebagai ‘super-scaler’ dalam memacu pertumbuhan dan memperluaskan skala syarikat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dan kompetitif di arena global. 

“Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan pembabitan ekonomi Bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, pihaknya akan berperanan sebagai ‘Talent Bank’ untuk mengenalpasti, membangun, memupuk, mengurus dan menyalur bakat Bumiputera menerusi tiga kategori iaitu Pemimpin Profesional, Pemimpin Perniagaan dan Pemimpin Komuniti. 

Beliau berkata, ia mempunyai matlamat membangunkan kelas Pencipta Nilai Bumiputera. 

“Bakat-bakat Bumiputera ini seterusnya berpeluang disalurkan ke ekosistem TERAJU dan Ekuinas,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi pula berkata, TERAJU berperanan 

sebagai ‘super-scaler’ dalam memangkin pertumbuhan perusahaan Bumiputera bermula 

daripada tahap pemula (start-up) sehingga pertengahan (mid-tier). 

Beliau berkata, ia akan enekankan aspek peningkatan keupayaan, pengukuhan daya saing, dan penskalaan dalam sektor baharu yang berpotensi tinggi. 

Usaha itu katanya akan dilaksanakan menerusi pendekatan yang lebih efektif seperti Kerjasama Salingan, Pembelian Langsung Pengurusan serta Penggabungan dan Pengambilalihan. 

Ini katanya turut akan disokong oleh program pembiayaan dan 

pemudahcaraan. 

“Program pembiayaan meliputi pembiayaan hutang dan pembiayaan ekuiti, manakala program pemudahcaraan pula akan memfokuskan kepada Depositori 

Korporat Bumiputera serta Khidmat Rundingan dan Nasihat. 

“Dengan ini, perniagaan Bumiputera ini akan dilonjakkan skalanya supaya dapat disambut oleh EKUINAS untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif EKUINAS, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pihaknya akan terus memacu pertumbuhan syarikat peneraju Bumiputera di peringkat pertengahan melalui model 

pelaburan Dana Persendirian (PE”) yang sedia ada. 

Di samping itu beliau berkata, pihaknya juga kan memperkenalkan suatu program pelaburan baharu iaitu Kredit Persendirian, sebuah skim pinjaman langsung, yang akan menggandingi program pelaburan PE bagi menyediakan spektrum pembiayaan yang lebih lengkap. 

“Program pelaburan baharu itu akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan 

keupayaan dan daya saing perusahaan Bumiputera di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Ekuinas juga akan memperkenalkan Dana Asas II, sebagai kesinambungan kepada Dana Asas yang telah dilancarkan pada Mac 2023 untuk memperkasakan perusahaan Bumiputera peringkat pertengahan.-BH Online