Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi akan melaksanakan program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menyemarakkan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Ogos depan.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata Bulan Kebangsaan sentiasa dinanti-nantikan rakyat Malaysia dengan perasaan berkobar-kobar untuk menghias Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Jalur Gemilang adalah simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Inilah bendera yang kita kibarkan pada setiap detik kejayaan ditempa di seluruh dunia.

“Namun, usaha ini sebenarnya perlu disemarakkan bermula di tanah air sendiri, melalui rumah yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga tersayang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 di Stesen Sentral Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak sekali gus digalak mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna, iaitu bendera tidak koyak, uzur atau lusuh, kerana ia adalah gambaran diri sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan tanah air.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, tahun ini juga amat istimewa dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia kerana negara bakal menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, tiada mana-mana negara lain di dunia yang memiliki keunikan sedemikian di mana pada setiap lima tahun, Malaysia bertuah kerana dapat menyaksikan istiadat berkenaan.

“Selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, harapan saya agar rakyat Malaysia tidak hanya menantikan cuti umum semata-mata.

“Sebaliknya, marilah kita semua meraikan keistimewaan ini serta menjadikannya waktu untuk berkumpul bersama dan mendalami sejarah institusi diraja,” katanya.-BH Online