Kementerian Pendidikan berada pada landasan tepat untuk melonjakkan pendidikan digital termasuk meningkatkan infrastruktur dan infostruktur digital seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kerjasama rentas kementerian dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital turut dilakukan dalam melonjakkan pendidikan digital tersebut.
“Jadi apa yang kita perkukuhkan termasuk infrastruktur dan infostruktur dan yang kedua persiapan guru kompetensi yang kita bagi tumpuan penuh.
“Ketiga ialah melonjakkan kapasiti penggunaan dan juga keupayaan Pelantar Delima yang saya fikir perlu diberikan tumpuan semua pihak kerana ia bukan sahaja untuk guru tetapi juga anak-anak murid kita,”katanya pada Majlis Anugerah Hari Guru 2024 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambahnya pada masa ini pihaknya sedang meningkatkan semua infrastruktur khususnya penambahbaikan pusat kegiatan guru supaya murid-murid dan guru mendapat akses internet.
Dalam pada itu mengulas mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu beliau berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa bersiap siaga dan menyediakan garis panduan yang perlu diikuti semua jabatan pendidikan negeri.
Katanya, autonomi turut diberikan kepada setiap sekolah dalam membuat keputusan mengenai aktiviti, pemakaian dan nasihat kepada murid-murid.
“Insya-Allah kesiapsiagaan kita ada dan saya ingin mengingatkan kepada semua jabatan pendidikan negeri mematuhi garis panduan kita,”katanya.-KOSMO! ONLINE