Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak agar terus berusaha meningkatkan sistem pendidikan negara supaya mampu diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dalam mesej sempena sambutan Hari Guru hari ini, Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan yang baik penting untuk peningkatan moral yang tinggi, sekali gus melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

Katanya, guru memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan anak bangsa.

“Selamat menyambut hari guru kepada seluruh warga pendidik dan para guru yang gigih membina bangsa. 

“Tentunya dalam konteks membentuk masa depan anak bangsa, komitmen, peranan dan dukungan guru adalah terpenting. 

“Namun, usah dikesampingkan suatu fakta bahawa sistem pendidikan negara harus dipertingkat agar kita dapat memastikan akses yang sama dalam meraih ilmu pengetahuan serta tingkat moral yang tinggi. 

“Melahirkan anak bangsa yang berjaya adalah dambaan semua, tidak hanya di pihak pembuat kebijakan (dasar),” katanya dalam satu hantaran di laman sosial hari ini.

Beliau turut memberikan penghargaan tinggi kepada guru di Malaysia yang berjaya mewujudkan generasi yang berketerampilan.

“Jutaan penghargaan kepada guru-guru dan negara ini perlukan kebersamaan kalian terutamanya dalam usaha mewujudkan generasi penerus yang madani dan berketerampilan,” katanya.

Sementara itu dalam pesanan video, Anwar berkata, kejayaan beliau hari ini juga adalah disumbang hasil jasa pengorbanan mereka yang bergelar guru.

“Saya bernasib baik kerana pendidikan dari ibu bapa dan tentunya daripada guru-guru sejak kecil sehingga ke peringkat universiti.

“Saya mengenang jasa mereka dan mengingati tanpa pengorbanan dan dedikasi mereka, tidak mungkin saya mencapai sedikit kemajuan di tahap ini dan lebih penting ia datang daripada pendidikan, mutu ilmu, nilai dan juga akhlak,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan serta warga Kementerian Pendidikan yang menyemarakkan lagi sambutan untuk mengenang jasa guru.

“Ia akan mengukuhkan khidmat guru dan memberi harapan menggunung tinggi agar pendidik dan guru memberi sebaiknya agar kita dapat mengangkat darjat bangsa dan negara,” katanya.-BH Online