Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Uzbekistan mulai esok hingga 19 Mei ini adalah kunjungan amat penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Ilham Tuah Illias, berkata hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Uzbekistan yang terjalin sejak 1992 kini semakin akrab.

Beliau berkata, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menteri Malaysia yang terakhir melakukan lawatan ke Uzbekistan pada 2008.null

“Kedua-dua negara berkongsi banyak perkara dalam forum-forum antarabangsa. Kekuatan hubungan kedua-dua negara lebih kepada pendidikan dan pelancongan,” katanya kepada media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Uzbekistan.

Malah, Ilham Tuah berkata, adanya penerbangan pergi balik Batik Air ke Uzbekistan telah meningkatkan lagi hubungan kedua-dua negara dari segi pelancongan dan perniagaan.

“Ramai pelancong Uzbekistan ingin ke Malaysia kerana terdapat tempat pelancongan yang menarik seperti pantai dan hutan tropika. Aktiviti perniagaan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lawatan berkenaan adalah atas jemputan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.

Pada hari pertama lawatan di Uzbekistan, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan Malaysia dengan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi.

Anwar kemudian akan melawat Kompleks Imam Hazrati, iaitu tempat manuskrip asal al-Quran Khalifah Uthman Affan (Mashaf Uthmani) – yang tertua di dunia – disimpan dan dipamerkan. 

Dari Tashkent, Perdana Menteri akan ke Samarkand pada 18 Mei ini dan dijangka berucap pada Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand. 

Forum dianjurkan Uzbekistan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Uzbekistan, Abdulla Nigmatovich Aripov.

Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (AS$414,518). – BERNAMA