Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak akan dibincangkan Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya.

Beliau berkata, isu terbabit bagaimanapun tidak disentuh langsung pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“Tidak ada bincang, mungkin masa Perdana Menteri kembali ke tanah air minggu depan.

“Tetapi saya percaya apa yang dikatakan mengikut proses (pandangan Perdana Menteri bahawa pertimbangan selepas kes 1MDB), itu yang beliau sebut,” katanya pada sidang media hari ini. 

Anwar dalam wawancara bersama Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha semalam, berpandangan Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai. 

Perdana Menteri menegaskan beliau hanya akan mengesyorkan perkara itu jika pandangannya diminta oleh Seri Paduka. 

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO di Country Heights, Kajang, pada 30 Januari lalu. 

Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.-BH Online