Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM141.78 juta bagi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2020 hingga tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan statistik, sejumlah RM31.30 juta diperuntukkan pada 2020 dan 2021, diikuti RM30 juta (2022), RM42.4 juta (2023) dan RM38.08 (2024).

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan sedar akan keperluan serta manfaat pelaksanaan inisiatif BPP kepada rakyat Pahang.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri sentiasa komited menambah baik pelaksanaannya serta memperluas skop program bawah inisiatif BPP supaya lebih ramai rakyat Pahang menerima manfaat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Ketari) sama ada kerajaan negeri berhasrat memperluaskan program BPP supaya lebih ramai rakyat Pahang dapat menerima bantuan.

Untuk pelaksanaan BPP tahun ini, Wan Rosdy berkata, sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi Program Berkhatan Anak Pahang membabitkan 3,000 penerima manfaat berumur 15 tahun ke bawah.

Melalui BPP juga, beliau berkata, Program MyLesen Pahang dilaksanakan dengan peruntukan RM720,000 bagi golongan muda berusia antara 18 dan 21 tahun mendapatkan lesen.

“Tahun ini, RM1.5 juta diperuntukkan bagi Program Barakah Haji Pahang di mana setiap jemaah haji menerima RM750 berbanding RM500 tahun lalu,” katanya.-BH Online