Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.

Kunjungan Perdana Menteri ketika kedua-dua negara meraikan hubungan dua hala 50 tahun sejak 1974 adalah bersempena jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Ketibaan beliau yang menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Qatar kira-kira jam 9.37 malam (2.37 pagi waktu Malaysia) bersama delegasi, disambut Timbalan Menteri Luar Negeri Qatar, Sultan bin Saad Al Muraikhi bersama-sama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.

Turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar dalam lawatan sulung ke Qatar akan mengisi jadual padat bermula dengan sambutan rasmi kerajaan di Amiri Diwan sebelum mengadakan pertemuan bersama Emir Qatar.

Beliau juga dijadual menemui rakan sejawatnya yang juga Menteri Luar Negeri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di pejabat pentadbiran Emir Qatar itu.

Pertemuan kedua Anwar dan Sheikh Mohammed ini selepas masing-masing bertemu di Riyadh akhir bulan lalu, dilihat signifikan dalam konteks berkaitan konflik Palestin-Israel.-BH Online