Sorting by

×

Kementerian Pertahanan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum menentukan langkah seterusnya. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata keputusan akan dibuat sama ada untuk membatalkan kontrak atau memberi masa tambahan kepada pembekal.

“Kita perlu pertimbangkan sama ada terdapat sebarang denda yang akan dikenakan disebabkan kelewatan dalam tarikh penghantaran yang ditetapkan, atau pembatalan,” katanya sambil menambah kementerian akan mengumumkan keputusannya tidak lama lagi.

Pembekal perkhidmatan udara tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd telah menangguhkan penghantaran empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk bernilai RM187 juta, untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Sebelum ini, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengatakan satu cadangan akan dikemukakan kepada MINDEF untuk membatalkan kontrak pajakan Black Hawk, jika Aerotree gagal memenuhi obligasi penghantaran mereka.

Tanpa Black Hawk operasi ATM macam biasa

Khaled berkata kementerian akan menyemak laporan dan mengambil kira laporan ATM sebelum membuat keputusan akhir.

“Tanpa helikopter (Black Hawk), operasi tentera berjalan seperti biasa, (akan tetapi) dengan kehadiran tambahan Black Hawks, operasi akan ditingkatkan.

“Helikopter itu untuk kegunaan anggota tentera di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, serta untuk mengangkut peralatan,” katanya hari ini semasa penyampaian pingat perkhidmatan kepada Veteran ATM. 

ATM mempunyai tiga skuadron operasi iaitu 881 Skuadron, 882 Skuadron dan 883 Skuadron yang dilengkapi dengan helikopter iaitu Agusta A109LOH dan untuk operasi serangan ringan (MD530G). 

Skuadron pengangkutan, 882sk, menggantung penggunaan helikopter pengangkut Sikorsky S-61A-4 Nuri pada tahun 2020.

Black Hawks UH-60A+ disasarkan untuk menggantikan S-61A-4.-BH Online