Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang di negara ini. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun sebagai langkah pencegahan, beliau telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak sistem berkenaan yang mula digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing ketika ini.

“Saya akan minta APAD untuk lihat perkara itu, tetapi setakat ini memang tidak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Melaka, Tiang Dua, Ayer Molek, hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Negeri Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Beliau mengulas kewujudan aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini yang mana melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui. 

Bagaimanapun, penggunaan sistem tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam apabila kaedah itu seolah-olah memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu. 

Dalam perkembangan lain Anthony berkata, laporan siasatan oleh pasukan khas yang menyiasat dakwaan terkandung dalam JPJ Pandora Papers akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) MOT untuk dinilai dan tindakan seterusnya. 

Jelasnya setakat ini memang diakui wujud beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam proses pendaftaran nombor klasik memandangkan nombor plat tersebut diperoleh mengikut kaedah sedia ada, namun ia perlu diperketatkan dan dikawal. 

“Ini kerana nombor-nombor klasik itu dahulunya didaftarkan tanpa satu proses sistem yang telus dan terperinci kerana pada zaman 50-an dan 60-an ia didaftar secara manual, tidak ada dalam sistem komputer atau aplikasi seperti MySikap,” katanya. – BERNAMA